Monday, November 29, 2010

TESTIMONI

Testimoni 3

Alif, 23 (bukan nama sebenar), berasal dari Jeli, Kelantan. Beliau mula berjinak-jinak dengan dadah kerana terpengaruh dengan rakan sebaya ketika berumur 15 tahun. Bermula dengan ketagihan pil kuda, sehinggalah beliau mula berani mengambil ganja. Tambahan pula bekalan dadah tersebut mudah diperolehi tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

Alif pernah berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai pembantu restoran. Selama setahun di sana, beliau tidak mengambil sebarang bentuk dadah kerana bekalan susah untuk diperolehi. Bagaimanapun, sekembali dari Kuala Lumpur, Alif mengambil dadah semula atas pengaruh rakan-rakan.

Ekoran bimbang dengan masa depan Alif, pada 21/12/2009, bapa dan bapa saudaranya telah membawa Alif ke Baitul Taubah. Alif dengan rela hati tidak membantah kerana beliau sendiri juga ingin berubah. Sepanjang tempoh 4 bulan latihan, Alif menjadi salah seorang anak bina yang taat menjalani setiap program yang dijalankan.

Sehingga kini Alif masih menjadi penghuni setia di Baitul Taubah. Bezanya beliau kini menjadi salah seorang penyumbang tenaga yang gigih membantu membentuk anak bina lain. Di Baitul Taubah beliau memperolehi ketenangan dan kedamaian jiwa. Sesekali Alif akan pulang bercuti untuk melawat keluarganya di kampung halaman. Sekarang pendirian Alif mula teguh dan tidak lagi mudah terpengaruh seperti suatu ketika dulu.