Thursday, October 28, 2010

TESTIMONI

Testimoni 2

Yassin, 38 (bukan nama sebenar) berasal dari Pahang yang kini sudah mampu memberi kaunseling kepada anak bina baru di Baitul Taubah. Anak kepada pesara tentera ini menagih dadah berpunca dari sifat berani ingin mencuba sehingga kepada perkara yang menyalahi undang-undang.

Kata Yassin, "Saya rasa nikmat dengan dunia tersendiri ketika awal terbabit dengan ganja. Ketika usia 20 tahun, saya mencuba pula heroin. Akhirnya ketika berusia 21 tahun, saya sudah menjadi penghuni di Serenti Jeli selama 16 bulan". Selain Serenti Jeli, Yassin juga pernah menghuni di Serenti Batu Kurau, Taiping selama 12 bulan, Penjara Sungai Buluh 4 bulan dan Penjara Penor, Kuantan 14 bulan. Selepas keluar dari Serenti, Yassin perlu melaporkan diri di Balai Polis berdekatan sekali sebulan dan berada di bawah pengawasan polis selama 2 tahun.

Ketika di dalam tahanan, beliau dan rakan-rakan bebas bercerita tentang dadah sebelum ditahan dan bebas bertukar-tukar ilmu. Maka tidak hairanlah pelatih yang keluar dari pusat Serenti mempraktikkan ilmu yang diperolehi dari rakan-rakan di Serenti.

Beliau juga mendakwa dalam Serenti juga ada gejala tidak sihat apabila pelatih mendapat bahan haram secara mudah. Kata beliau, selagi amalan rasuah dan penyelewengan dibiarkan berlaku, pemulihan dadah di Serenti sukar untuk menginsafkan setiap pelatih.

Setelah mengalami pengalaman keluar dan masuk di banyak pusat tahanan, akhirnya pada Ogos 2009, beliau menyerah diri kepada Baitul Taubah untuk menemui semula agama yang telah lama dilupakan.

Sepanjang berada di Baitul Taubah, beliau menjalani program pemulihan bermula awal 4 pagi. Selepas Solat Subuh akan dipenuhi dengan kuliah agama dan kesedaran diri sehingga jam 7.30 pagi. Manakala bagi setiap waktu solat, semua penghuni di Baitul Taubah wajib berjemaah bersama-sama.

Selepas 4 bulan di Baitul Taubah, beliau dibenarkan pulang ke kampung menemui ahli keluarganya. Ramai yang terkejut dengan perubahan fizikalnya. Beliau berjaya memujuk dua orang anak saudaranya untuk menjalani pemulihan di Baitul Taubah.

TESTIMONI

Testimoni 1

Nabil, 33 (bukan nama sebenar) berasal dari Kota Bharu. Sudah dua kali menjalani rawatan di Serenti. Kali pertama selama 14 bulan dan kedua setahun.

Beliau mengakui mulai terjebak dengan najis dadah ketika belajar di tingkatan tiga. Selepas berjinak dengan ubat batuk, beliau beralih pula kepada menghisap morfin. Beliau juga menyalahkan persekitaran di kampungnya mengajar beliau terjebak dengan gejala penagihan.

"Selepas terbaca laporan mengenai Baitul Taubah, datang minat dalam diri saya untuk menjalani rawatan. Kedua orang tua saya telah menghantarkan saya ke sini pada Jun 2009". Kata beliau yang kini semakin berisi dan sihat.

Ketika ditanya mengapa pusat Serenti tidak mampu mengubah dirinya. Katanya program yang dianjurkan oleh pusat Serenti lebih kepada paksaan. Bagi pelatih yang tidak mengikuti program yang ditetapkan, maka tempoh penahanan akan dipanjangkan. Penekanan pusat Serenti lebih kepada aspek fizikal iaitu kawad. Sebaliknya kurikulum inabah lebih memberi penekanan kepada aspek kerohanian berteraskan solat, zikir, puasa, pengajian ilmu Islam dan mandi ternyata mampu menginsafkan beliau.

Setelah 4 bulan di sini, Nabil dibenarkan untuk pulang bercuti di kampung. Ramai yang tidak mengenali beliau. Katanya ramai yang terkejut dengan perubahan fizikalnya. Kepulangan beliau kali ini bukan untuk dipengaruhi, sebaliknya beliau telah mengajak kawan-kawan untuk insaf dan menjalani rawatan di Baitul Taubah.

"Setelah beberapa hari di kampung, saya mengambil keputusan untuk kembali ke Baitul Taubah bersama rakan-rakan lain yang telah insaf". ujar beliau.

Wednesday, October 13, 2010

TAKZIAH ATAS KEPULANGAN "TOK NEBENG" KE RAHMATULLAH

Salah seorang bekas anak bina yang dikenali sebagai "Tok Nebeng" telah selamat pulang ke Rahmatullah pada 11 Oktober 2010. Punca kematian beliau adalah disebabkan oleh masalah paru-paru. Beliau meninggal ketika sedang bekerja (kerja kampung) iaitu memunggah kayu.

Sepanjang di Baitul Taubah, beliau begitu disegani oleh anak bina yang lain sehingga dilantik menjadi ketua digelar "Tok Nebeng". "Tok Nebeng" adalah antara hasil awal Baitul Taubah yang cemerlang. Ketika diterima masuk Baitul Taubah, Tok Nebeng berusia 44 tahun. Sebagai pelatih yang lebih tua, beliau menunjukan contoh yang baik kepada anak bina lain, selain menunjuk ajar mereka.

Beliau telah menjalani latihan pemulihan di Baitul Taubah selama 6 bulan dan kemudiannya kembali ke kampung asal dan tinggal bersama-sama isteri dan anak-anak. Beliau sangat rajin dan mampu melakukan pelbagai pekerjaan termasuklah mempunyai kebolehan dalam ilmu pertukangan.

Kami bagi pihak Baitul Taubah merakamkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga beliau. Semoga roh beliau diberkati dan dirahmati oleh Allah S.W.T serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Al-Fatihah........