Thursday, November 19, 2009

UJIAN AIR KENCING

Pada 15 November 2009, pihak AADK telah datang ke Baitul Taubah. Kehadiran mereka adalah untuk melakukan ujian air kencing ke atas semua anak bina termasuk pihak pengurusan Baitul Taubah. Ini bertujuan bagi memastikan semua mereka yang berada di Baitul Taubah tidak terlibat dengan dadah.

SOLAT HAJAT

Baitul Taubah telah mengadakan "Solat Hajat" pada 15 November 2009. Solat Hajat ini diadakan bagi memohon semoga semuanya berada di dalam keadaan yang selamat. Pada malam itu juga mereka beramai-ramai membakar sate.

SUKANEKA BAITUL TAUBAH

Pada 24 Oktober 2009, Baitul Taubah telah mengadakan acara Sukaneka Baitul Taubah. Sukaneka ini hanya melibatkan pihak pengurusan Baitul Taubah bersama-sama dengan anak bina. Antara sukan yang dipertandingkan ialah :
  • Bola Sepak
  • Bola Tampar
  • Ping Pong
Permainan bermula pada waktu petang dan malam iaitu pada waktu kelapangan. Acara sukaneka ini berakhir pada 28 Oktober 2009 dengan acara penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang.

Main bola tampar

Monday, October 26, 2009

MAJLIS TALQIN

Pada 17 Oktober 2009 iaitu pada hari Sabtu, "Majlis Talqin telah diadakan di Baitul Taubah. Majlis ini telah dihadiri oleh Ustaz Manan dari Terengganu selaku guru Mursyid yang bertanggungjawab mengajar mengenai pengisian zikir khususnya kepada anak bina yang baru memasuki Baitul Taubah. Majlis bermula selepas Solat Maghrib. Pada malam tersebut, mereka yang mengamalkan tariqat telah diajar dan diberikan penerangan tentang cara-cara menghayati zikir secara betul. kesemua anak bina Baitul Taubah diwajibkan menghadirkan diri dalam majlis ini bagi tujuan memantapkan lagi zikir di kalangan mereka.

Sunday, October 11, 2009

MAJLIS BERBUKA PUASA

Pada 17 September 2009, satu "Majlis Berbuka Puasa" disumbangkan oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Bahagian Sumber Manusia.

Majlis bertujuan meraikan anak bina, keluarga dan masyarakat setempat seramai 120 orang. Majlis bermula pada pukul 6.00 petang dan berakhir dengan sedikit jamuan selepas sunat tarawih.

Majlis diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Qari Pakistan, Sheikh Asfandiar iaitu Imam Tarawih Masjid Padang Pak Amat. Seterusnya majlis disusuli oleh ucapan daripada pengerusi dan ketua eksekutif PKINK berserta penyerahan sumbangan cek kepada Baitul Taubah.
Berbuka puasa

Tuesday, October 6, 2009

LAWATAN USIM KE BAITUL TAUBAH

Baru-baru ini Baitul Taubah ada menerima kehadiran tetamu dari Universiti Sains Islam Malaysia, USIM. Kedatangan mereka adalah untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Baitul Taubah secara lebih dekat.

Wednesday, September 9, 2009

KAUNSELING DARI UUM

Sesi kaunseling telah dianjurkan oleh pihak UUM dengan keizinan pihak Baitul Taubah. Kaunseling ini telah diadakan pada 19 Julai 2009.

Mereka yang terlibat dengan kaunseling ini ialah Kamaluddin Hasbullah, Naziha Che Yaakob dan Dr. Nadiyah bt Elias (Penyelia UUM). Objektif kaunseling ini diadakan ialah untuk memahami masalah yang dihadapi oleh peserta, membimbing peserta dalam kerjaya dan urus diri serta persiapan apabila keluar dari Baitul Taubah.

JAMUAN


Baitul Taubah telah mengadakan jamuan pada 9 Julai 2009. Penglibatan adalah sepenuhnya oleh anak bina bersama pihak pengurusan Baitul Taubah dalam mengeratkan hubungan di antara anak bina dengan pihak pengurusan.

MAJLIS TANBIH

Merupakan majlis mingguan. Majlis ini telah diadakan pada 28 Mei 2009. Pengisian program ini ialah dengan pembacaan wasiat atau amanat oleh guru kepada murid. Salah seorang anak bina Baitul Taubah telah membaca wasiat yang disediakan oleh Syeikh Muryid Syeikh Abdullah Mubarak bin Nur Muhammad untuk tujuan peringatan bersama.

MAJLIS MUNAQIB

Pada 28 Mei 2009, majlis Munaqib telah diadakan di Baitul Taubah. Majlis ini merupakan program bulanan yang diadakan pada hari Jumaat terdekat selepas "Majlis Munaqib di Suryalaya" dijalankan. Semasa majlis ini dijalankan iaitu selepas isyak, ayat-ayat Al-Quran dibaca. Kemudiannya disusuli dengan pembacaan Tanbih, bacaan Tasawwuf, bacaan Mankobah. Majlis ini selesai selepas habisnya ceramah agama yang disampaikan sesudah bacaan Mankobah.

SUKAN DAN RIADAH



Telah diadakan sukan dan riadah pada 25 April 2009 di bawah anjuran pihak AADK Pasir Puteh dengan kerjasama Baitul Taubah. Pada hari tersebut, satu kejohanan bola tampar telah diadakan.
Kejohanan itu dijalankan di Baitul Taubah dengan penyertaan sebanyak 7 pasukan. Pasukan terlibat ialah Polis, Bomba, Majlis Daerah Pasir Puteh, Baitul Taubah 1 & 2, JPA 3 dan AADK Pasir Puteh.
Pasukan polis dan Majlis Daerah Pasir Puteh telah menjadi johan dan naib johan. Hadiah kejohanan ini telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Pasir Puteh, YB Muhammad bin Hussin.

MAULIDUL RASUL


Telah diadakan pada 26 Mac 2009. Majlis ini turut dihadiri masyarakat setempat.

Tuesday, September 8, 2009

PERTANDINGAN FUTSAL

Pada 17 Mac 2009, Baitul Taubah dengan kerjasama AADK Pasir Puteh telah mengadakan pertandingan Futsal.

MAJLIS AS-ASYURA

Majlis ini telah diadakan pada 31 Januari 2009. Majlis ini merupakan program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh pihak pengurusan khusus kepada anak bina Baitul Taubah dengan penglibatan masyarakat setempat.

MAJLIS TALQIN "BAI'AH"

Sehingga ketika ini, majlis Talqin telah diadakan pada ;
(i) 31 Januari 2009
(ii) 17 April 2009
(iii) 19 Julai 2009
'Pengijazahan Zikir' ini diadakan bergantung kepada keadaan tertentu untuk diajar dan diberikan penerangan tentang cara-cara menghayati zikir secara betul.

Sunday, September 6, 2009

KEJAYAAN YANG MEMBANGGAKAN BAITUL TAUBAH

1)Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Jajahan, 2 Mac 2009

Pihak Baitul Taubah telah menghantar dua penyertaan dalam pertandingan "Tilawah Al-Quran Peringkat Jajahan" di bawah penyeliaan AADK Pasir Puteh. Hasilnya salah seorang anak bina dari Baitul Taubah berjaya menjadi juara dalam pertandingan ini. Seterusnya memberi peluang kepada beliau bertanding di peringkat Zon Timur pula.

2) Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Zon Timur, 23 Mac 2009

Pada peringkat Zon Timur ini, anak bina Baitul Taubah berjaya menyandang tempat ke 4 dari keseluruhan penyertaan. Kejayaan ini juga amat membanggakan Baitul Taubah.

Wednesday, September 2, 2009

STATISTIK 2008

1) JENIS-JENIS DADAH YANG DIAMBIL OLEH ANAK BINA
Seramai 35 orang anak bina cenderung mengambil dadah jenis Metamphetamine. Ia merupakan pengambilan jenis dadah paling tinggi oleh anak bina Baitul Taubah berbanding dengan lain-lain jenis dadah. Seramai 23 orang mengambil dadah jenis heroin, morfin dan ganja masing-masing seramai 12 orang, amphetamine 9 orang, kodein 5 orang, gam 2 orang dan hanya seorang mengambil dadah jenis pil ectacy dan juga pil psikotropik.


2) CARA GAYA PENGGUNAAN DADAH
Seramai 41 orang ada menggunakan cara "Chase" (Menghidu asap hasil daripada ramuan dadah yang telah dimasak di atas dapur khas), yang merupakan cara paling banyak digunakan oleh anak bina yang terlibat.
Manakala suntikan merupakan cara kedua tertinggi digunakan oleh anak bina iaitu seramai 25 orang. Cara penggunaan paling kecil pula, adalah dengan cara menghidu iaitu seramai 2 orang sahaja.
Di sini menunjukkan golongan penagih ini mempunyai pelbagai cara gaya dalam melepaskan gian mereka pada tahap yang paling maksimum.

Tuesday, September 1, 2009

MAJLIS PERASMIAN & HARI TERBUKA AIDILFITRI BAITUL TAUBAH


Bersalaman dengan YAB Tuan Guru

Baitul Taubah telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam Majlis Hari Terbuka Aidilfitri Baitul Taubah iaitu pada 8 Oktober 2007. Dengan rasminya Baitul Taubah diiktiraf sebagai Pusat Pemulihan Dadah/Akhlak.

PENGAMBILAN PERTAMA ANAK BINA

Pada 16 Januari 2008, pengambilan pertama anak bina iaitu seramai 20 orang telah diambil sebagai perintis secara percuma sebagai permulaan.

Anak bina yang diambil datangnya dari keluarga bandar dan luar bandar. Secara majoritinya kebanyakan anak bina adalah dari Kelantan dan selainnya dari Kedah, Pahang, Terengganu, Kuala Lumpur, Johor, Perak dan Melaka.

GOTONG ROYONG PERDANA

Gotong Royong Perdana telah diadakan pada 4 Januari 2008. Gotong royong ini telah dirasmikan oleh Dato' Haji Takiyuddin iaitu selaku Pengerusi Pondok Islah Diri ini.

Mereka yan terlibat dalam gotong royong ini ialah Anggota JPA3, Agensi Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), Briged Kebajikan Perdana dan Pemilik Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi Kelantan.

Sunday, August 30, 2009

Lawatan ke Pondok Inabah Pesantren Suryalaya Wilayah Jawa Timur

Bertemu Kiyai Haji Ahmad Shobibulwafa Tajul Ariffin

Kenangan bersama-sama Kiyai Haji Ahmad Shobibulwafa Tajul Ariffin

Pada 1 Disember 2007, Baitul Taubah telah mengadakan satu lawatan ke Pondok Inabah Pesantren Suryalaya Wilayah Jawa Timur. Tujuan lawatan untuk mendapatkan keizinan serta restu Kiyai Haji Ahmad Shobibulwafa Tajul Ariffin iaitu Muryid Tarekat Qadiriah Wan Naqsyabandiah untuk mengamalkan kaedah yang sama di Baitul Taubah.

Sunday, August 16, 2009

AKTIVITI-AKTIVITI BERKALA BAITUL TAUBAH

1) Senaman Pagi
Diadakan oleh Wakil Jemputan JPA 3 iaitu dua kali setiap minggu iaitu pada hari Isnin dan Selasa. Senaman ini penting kepada anak bina dan juga pembina supaya dapat menjalani kehidupan lebih sihat dan bertenaga.

2) Gotong- Royong
Diadakan pada setiap hari Jumaat di sebelah petang. Aktiviti ini dijalankan bagi memastikan Baitul Taubah sentiasa terjaga kebersihannya. Selain itu, bertujuan mendedahkan anak bina dengan budaya yang sihat. Dengan bergotong royong mampu menyihatkan tubuh badan hasil dari peluh yang keluar.

3) Kuliah Agama (Penceramah Jemputan)
Diadakan setiap minggu bergantung kepada kemampuan penceramah luar untuk hadir. Ceramah ini diadakan bagi menggelakkan anak bina berasa bosan mendengar ceramah dari penceramah yang sama. Dengan kedatangan penceramah luar, pertukaran maklumat boleh berlaku dan dapat menghilangkan jemu anak bina.

4) Sesi Kaunseling
Diadakan pada setiap minggu dalam memberikan kesedaran kepada anak bina supaya tidak kembali menagih serta tidak timbulnya kekeliruan di hati anak bina tentang sesuatu perkara.

5) Majlis Talqin "Bai'ah"
Majlis ini merupakan satu proses dari guru Mursyid mengajar mengenai pengisian zikir kepada mana-mana individu yang mengamalkan Tariqat. Individu ini akan diajar dan diberikan penerangan tentang cara-cara menghayati zikir secara betul. Dengan kata lain, dalam majlis ini akan berlakunya 'pengijazahan zikir' daripada Guru Mursyid kepada pengamal Tariqat.

Kebiasaannya majlis ini akan diadakan mengikut kepada keadaan tertentu terutamanya apabila ada masuknya ramai anak bina baru. Semasa majlis ini berjalan, anak bina yang sedia ada juga akan turut serta.

6) Majlis Tanbih
Majlis ini merupakan satu program mingguan. Ianya akan diadakan pada setiap malam Jumaat iaitu selepas Solat Isyak. Pengisian program ini ialah pembacaan wasiat atau amanat guru kepada murid. Teks telah disediakan oleh Syeikh Muryid Syeikh Abdullah Mubarak bin Nur Muhammad. Teks ini akan dibaca oleh anak bina mengikut giliran yang telah dibuat oleh pihak pengurusan Baitul Taubah. Ianya bertujuan meningkatkan keyakinan dalam diri mereka.

7) Majlis Munaqib
Merupakan program bulanan yang diadakan pada hari Jumaat terdekat selepas "Majlis Munaqib di Suryalaya" dijalankan. Program ini akan dijalankan selepas Solat Isyak yang dimulai dengan pembacaan Al-Quran. Kemudian pembacaan Tanbih, bacaan Tasawwuf, bacaan Mankobah iaitu mengenai salah satu kisah dari kisah-kisah Syeikh Abdul Kadir Jailani. Terakhir sekali, ceramah agama akan disampaikan.

8) Ujian Saringan Air Kencing
Dengan kerjasama AADK Pasir Puteh, Baitul Taubah telah menjalankan ujian saringan air kencing ke atas semua anak bina. Ujian ini dijalankan berdasarkan keadaan tertentu iaitu setiap kali ada kemasukan anak bina baru, timbulnya kes-kes tertentu yang mendorong pemeriksaan ini dijalankan, anak bina yang keluar pada hujung minggu dan anak bina yang pulang bercuti.

Pemeriksaan saringan air kencing sedang dijalankan

Contoh air kencing yang diambil bagi tujuan pemeriksaan


Tuesday, August 4, 2009

KAEDAH PEMULIHAN DI BAITUL TAUBAH

PENDEKATAN KAEDAH PEMULIHAN DI BAITUL TAUBAH

Frasa “pemulihan secara Islam” adalah merujuk kepada apa juga kaedah pemulihan dadah yang menggunakan Al-Quran dan Hadith sebagai sumber falsafah dan pendekatan untuk memulihkan penagih dadah. Oleh kerana penganut Islam mempunyai tafsiran yang berbeza tentang bagaimana sesetengah firman Allah atau sabda Rasul itu harus dilaksanakan, maka tidak ada satu kaedah yang wujud kini yang boleh memonopoli label “pemulihan cara Islam”. Kaedah yang dihuraikan di bawah adalah hanya salah satu tafsiran amalan, yang kebetulannya didapati berkesan dalam mengembalikan kehidupan normal seorang yang bergantung pada dadah.

Kaedah Pondok Inabah

Frasa “Pondok Inabah” atau kata singkat “Inabah” adalah merujuk kepada “Pondok Remaja Inabah” yang dipelopori pada tahun 1980 oleh Kiyai Hj. Ahmad Shohibulwafa Tajul Ariffin, Mursyid Tarekat Qadiriah wan Naqsyabandiah yang berpusat di Pondok Pesantren Suryalaya, Tasek Malaya, Jawa Barat, Indonesia. Secara keseluruhan, terdapat 24 Pondok Inabah di seluruh Nusantara termasuk dua (2) di Malaysia dan satu (1) di Singapura.

Model operasi Inabah adalah “pusat pemulihan dadah swasta” di mana kemasukan dan penempatan pelatih yang dipanggil “anak bina” adalah secara sukarela, dengan kos sarahidup dibiayai sepenuhnya oleh keluarga. Di Malaysia, bayaran bulanan yang dikenakan ke atas seorang anak bina adalah sebanyak RM400/=.

Tempoh minima rawatan pemulihan adalah selama tiga (3) bulan. Namun lazimnya kebanyakan anak bina secara sukarela akan melanjutkan tempoh pemulihan mereka kepada enam (6) bulan atau lebih.

Kurikulum Inabah

Kaedah pemulihan Inabah adalah 100% menggunakan “pemulihan secara Islam”. Kaedah yang digunakan adalah bagi menyucikan anak bina dari segala kekotoran secara dalaman dan luaran (rohani dan jasmani). Teras kaedah ini ialah: (a) Solat, (b) Mandi Malam dan (c) Zikir.

Solat

Terdapat jadual solat yang telah ditetapkan untuk dipatuhi oleh semua anak bina disini. Pelbagai solat sunat diatur menjadi suatu program yang dapat menyucikan jiwa anak bina.

Mandi Malam

Amalan mandi malam dan wudhu’ adalah perkara yang diwajibkan ke atas anak bina. Ini kerana, mandi dan wudhu’ difahamkan sebagai simbolik juga bertujuan menyucikan jiwa bagi tujuan menghadap Allah. Mandi malam yang juga dipanggil “mandi taubat” adalah satu amalan khusus yang mesti dilaksanakan oleh anak bina dan amalan ini dikawalselia oleh Penyelia.

Zikir

Zikir pada bilangan yang khusus dan tidak khusus diwajibkan ke atas semua anak bina (zikir jahar dikecualikan pada mereka yang uzur syarie) dalam usaha menghasilkan hati yang bersih (jauh dari syirik) dan kuat (berisi cahaya Ilahi). Kaedah ini sekaligus memberi ketenangan hati kepada anak bina dalam proses pemulihan.

Zikir Jahar yang utama diamalkan di Baitul Taubah adalah kalimah toiyyibah “Laailahaillallah” dan Zikir Khofi pula ialah kalimah “Ismu Zat”.

Monday, August 3, 2009

Baitul Taubah (Pondok Islam Diri)
PT 372 Kg. Jeram Pasu, 16800 Pasir Puteh, Kelantan
Sumbangan anda di alu-alukan ke akaun kami:
RHB Islamik Bank, Kota Bharu (No. Akaun : 25301600006860)
Hubungi:09-7480086 (pentadbiran) /atau 09-977 6566 (operasi)



Gambar 1: Pintu masuk bekas Kem JPA 3


Gambar 2: Papan notis nasihat dan peringatan sewaktu tempat ini menjadi Pusat Pemulihan Dadah Kebangsaan



Gambar 3: Persekitaran bekas kem JPA 3


PETA LOKASI BAITUL TAUBAH



Bermula dari 16 Januari 2008 sehingga 08 Oktober 2008 Baitul Taubah telah mendaftar masuk seramai 74 orang anak bina. Baitul Taubah hanya dapat menampung 20 -30 orang anak bina dalam satu masa disebabkan prasarana, asrama , lain-lain logistik serta sumber kewangan yang terhad.

1.1. Pengambilan anak bina.

Mulai 16 Januari 2008 seramai 20 anak bina mengikuti Program Baitul Taubah secara percuma. Anak bina datang dari keluarga Bandar dan Luar Bandar melibatkan majoritinya dari Kelantan dan selainnya dari Kedah, Pahang Terengganu dan Melaka. Kemasukkan anak bina pada awalnya tidak disaring rapi kerana terdapat anak bina yang terpaksa menjalani rawatan hospital kerana berbagai penyakit akibat penagihan seperti Batuk Kering (Tuberculosis), HIV, Hepatitis, kurang siuman (Skizofrenia ) serta lain-lain. Ada keluarga yang seolah-olah gembira kerana dapat melepaskan penjagaan anak/tanggungan mereka sepenuhnya kepada Baitul Taubah. Umur atau usia anak-anak bina adalah dari serendah 14 tahun hingga yang paling tua berusia 44 tahun. Sebilangan kecil telah berkeluarga dan mempunyai anak-anak yang belum bersekolah. Mereka terlibat dengan berbagai jenis dadah seperti, heroin, syabu, penghiduan gam, daun ketum dan lain-lain.

1.2. Kumpulan Pertama

Kumpulan pertama memberi pengalaman yang berbagai kepada Baitul Taubah. Ada sebilangan anak bina yang terpaksa dihantar untuk mendapat rawatan kecemasan kerap kali kerana penyakit hepatitis, TB, HIV dan skizofrenia akibat kesan penagihan dadah. Yang menghidap Skizofrenia (hilang ingatan) langsung tidak mengikuti program terpaksa pulang kepangkuan keluarga. Mereka ini tidak dapat mengikuti program dengan penuh disiplin menyebabkan faktor kegagalan hampir 30 %. Dari segi latar belakang ada sebilangan mereka mempunyai pendidikan Institusi Pengajian Tinggi antaranya Politeknik, UITM, UTM dan Institusi Tahfiz dari luar negara. Ada juga yang sedang dalam peringkat sekolah menengah rendah dan lepasan peperiksaan (SPM) sekolah menengah.

1.3. Kejayaan Baitul Taubah.

Dari kalangan mereka yang berjaya, terdapat seorang berusia 44 tahun dilantik sebagai ketua (Tok Nebeng). Beliau mempunyai kemahiran dalam pertukangan. Dari asas iman yang lemah beliau berjaya mengikuti program dengan baik dan tinggal di Baitul Taubah sehingga 6 bulan . Beliau terpaksa pulang kepangkuan keluarga dan masyarakat kerana mempunyai isteri dan anak-anak. Ada pihak prihatin dari Ahli Lembaga Baitul Taubah telah menghadiahkan beberapa alat pertukangan seperti gergaji elektrik, ketam kayu letrik, pahat, tukul dan penggerudi untuk kegunaannya. Baitul Taubah mendapat maklumbalas bahawa beliau mengambil upah (bertukang bina rumah dan siling kapur (moulded ceiling) di sekitar kawasan Kota Bharu.Selain dari ”Tok Nebeng”, seramai 4 orang anak bina masih tinggal di Baitul Taubah walau pun telah tamat tempoh latihan. Mereka ingin terus tinggal supaya mereka lebih mantap untuk pulang kepangkuan masyarakat. Di samping itu, mereka dapat membantu Baitul Taubah memberi panduan dan tunjuk ajar kepada anak-anak bina yang baru. Seorang daripadanya lepasan hafazan Al-Quran dari Pakistan dilantik sebagai "Pembantu Pembina" mengajar Al-Quran dan ilmu asas Islam kepada anak-anak bina yang lain. Manakala 3 yang lain mempunyai minat/ kemahiran pendawaian elektrik, penternakan dan masakan juga masih tinggal sebagai "Pembantu Pembina".

1.4. Kumpulan Kedua

Bagi anak-anak bina kumpulan ini dikenakan bayaran untuk belanja makanan bulanan sebanyak RM400 seorang. Walaupun bayaran tersebut jauh dari mencukupi untuk pengurusan Baitul Taubah tetapi atas rasa tanggungjawab sosial kos logistik dan utiliti bayaran elaun-elaun Pembina dan Pembantu Pembina, Pengawal Keselamatan, Tukang Masak dan kerja-kerja baikpulih bangunan terpaksa diikhtiarkan dan amat memerlukan sumbangan daripada para Dermawan, Korporat/Agensi Kerajaan atau Institusi Swasta. Dengan pengalaman pada peringkat awal, tidak banyak masalah anak bina yang lari pulang. Anak bina yang diterima disaring dari segi penyakit-penyakit serius, kes-kes polis atau AADK. Bagaimanapun terdapat keluarga yang ingin menghantar anak-anak mereka yang mengikuti rawatan dan pengawasan Pengasih ke Baitul Taubah.Ada beberapa daripada anak bina kumpulan Kedua yang tamat tempoh 4 bulan masih melanjutkan tempoh tinggal mereka sehingga 6 bulan. Beberapa orang masih ingin terus tinggal di Baitul Taubah bergantung kepada kekosongan tempat.


BAHAYA DADAH PADA NEGARA

Bahana Dadah

Demi menjamin kesejahteraan hidup, Islam telah menetapkan panduan dan larangan dalam pengambilan bahan makanan atau kegunaan. Semua ini bertujuan memastikan kesinambungan hidup manusia agar sentiasa terpelihara jasmaninya dan akidahnya. Tegahan makanan kotor, serta yang memudharatkan adalah jelas. Larangan Ini adalah termasuk memakan bahan-bahan yang memabukkan.

Perbuatan penyalahgunaan dadah adalah sesuatu yang dilarang kerana ia memberi impak yang besar kepada kesihatan diri, kewarasan akal serta merosakkan akidah. Penyalahgunaan dadah adalah umpama sengaja meletakkan diri ke dalam kebinasaan, sebagaimana Firman Allah dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:

“Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

Islam melarang keras mendekati dadah apatah lagi menjerumuskan diri ke dalam perangkapnya, kerana antara kesan utama dadah ialah:

  • · Merosakkan diri sendiri
  • · Menghancurkan rumahtangga
  • · Menimbulkan masalah jenayah
  • · Mendatangkan penyakit berbahaya seperti HIV/AIDS
  • · Membunuh diri.

Statistik Dadah di Malaysia

Laporan Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) 2006, menunjukkan 300,241 warga Malaysia telah dikesan sebagai pengguna dadah di antara tahun 1988 hingga bulan Disember 2006. Amnya seramai 1,900 pengguna dadah baru dapat dikesan setiap bulan. Majoriti penguna dadah adalah golongan pemuda/pemudi di bawah umur 29 tahun. Masalah dengan penyalahgunaan dadah ialah ia bukan sahaja memudaratkan individu berkenaan serta keluarga mangsa, tetapi memberi kesan langsung terhadap keharmonian sosial, ketenteraman, serta produktiviti ekonomi negara. 75% dari jumlah penagih dadah yang dikesan adalah berbangsa Melayu.

Statistik HIV/AIDS di Malaysia

Malaysia ialah tempat epidemik AIDS yang kelima paling pesat merebak di rantau Asia Timur dan Pasifik dengan kadar semasa jangkitan HIV berganda setiap tiga (3) tahun. Di antara tahun 1986 di mana kes pertama dikesan, hingga hujung tahun 2006, seramai 76,389 orang telah dijangkiti HIV, manakala 9,155 orang telah meninggal dunia akibat AIDS. Statistik ini membayangkan purata 17 orang akan diuji positif bagi penyakit ini setiap hari.

HIV/AIDS di Kalangan Wanita Malaysia

Jumlah wanita yang dijangkiti HIV telah bertambah dengan pesat pada dekad yang lalu daripada 4% dalam tahun 1995 kepada 15% di akhir tahun 2006. Kajian menunjukkan pada tahun 2006, lebih banyak suri rumah diuji positif HIV, berbanding dengan pekerja seks (pelacur). Pada masa yang sama, peratus bayi yang dilahirkan dengan HIV juga meningkat dari 0.2% kes pada tahun 1991 kepada 1.4% kes bagi tahun 2006.


Keratan Akhbar Baitul Taubah