Yassin, 38 (bukan nama sebenar) berasal dari Pahang yang kini sudah mampu memberi kaunseling kepada anak bina baru di Baitul Taubah. Anak kepada pesara tentera ini menagih dadah berpunca dari sifat berani ingin mencuba sehingga kepada perkara yang menyalahi undang-undang.
Kata Yassin, "Saya rasa nikmat dengan dunia tersendiri ketika awal terbabit dengan ganja. Ketika usia 20 tahun, saya mencuba pula heroin. Akhirnya ketika berusia 21 tahun, saya sudah menjadi penghuni di Serenti Jeli selama 16 bulan". Selain Serenti Jeli, Yassin juga pernah menghuni di Serenti Batu Kurau, Taiping selama 12 bulan, Penjara Sungai Buluh 4 bulan dan Penjara Penor, Kuantan 14 bulan. Selepas keluar dari Serenti, Yassin perlu melaporkan diri di Balai Polis berdekatan sekali sebulan dan berada di bawah pengawasan polis selama 2 tahun.
Ketika di dalam tahanan, beliau dan rakan-rakan bebas bercerita tentang dadah sebelum ditahan dan bebas bertukar-tukar ilmu. Maka tidak hairanlah pelatih yang keluar dari pusat Serenti mempraktikkan ilmu yang diperolehi dari rakan-rakan di Serenti.
Beliau juga mendakwa dalam Serenti juga ada gejala tidak sihat apabila pelatih mendapat bahan haram secara mudah. Kata beliau, selagi amalan rasuah dan penyelewengan dibiarkan berlaku, pemulihan dadah di Serenti sukar untuk menginsafkan setiap pelatih.
Setelah mengalami pengalaman keluar dan masuk di banyak pusat tahanan, akhirnya pada Ogos 2009, beliau menyerah diri kepada Baitul Taubah untuk menemui semula agama yang telah lama dilupakan.
Sepanjang berada di Baitul Taubah, beliau menjalani program pemulihan bermula awal 4 pagi. Selepas Solat Subuh akan dipenuhi dengan kuliah agama dan kesedaran diri sehingga jam 7.30 pagi. Manakala bagi setiap waktu solat, semua penghuni di Baitul Taubah wajib berjemaah bersama-sama.
Selepas 4 bulan di Baitul Taubah, beliau dibenarkan pulang ke kampung menemui ahli keluarganya. Ramai yang terkejut dengan perubahan fizikalnya. Beliau berjaya memujuk dua orang anak saudaranya untuk menjalani pemulihan di Baitul Taubah.