Bermula 20 Febuari 2011, Baitul Taubah memulakan usaha pertanian kecil-kecilan dengan menanam timun secara konvensional (diatas tanah). Penanaman timun ini hanya menggunakan bahan-bahan seperti kayu junjung, tali rafia, baja, silvershine (hamparan plastik), polibeg dan benih timun.
Pada peringkat awal, kerja-kerja pembersihan dilakukan bagi memudahkan kerja-kerja penanaman dijalankan. Diikuti dengan kerja-kerja pengemburan tanah dan seterusnya menabur baja, membuat batas, pemasangan hamparan plastik, serta membuat kayu junjung bagi tujuan menyokong untuk tumbuhan memanjat. Dalam pada itu juga mereka menanam biji benih ke dalam polibeg yang kemudiannya setelah cukup satu minggu telah dipindahkan ke batas-batas yang telah siap diusahakan. Kerja-kerja ini dilakukan bersungguh-sungguh oleh pembina bersama-sama anak bina terutamanya yang mempunyai minat dalam bidang pertanian.
Tempoh kerja-kerja penanaman hanya mengambil masa 40 hari perolehan hasil sehingga boleh dipasarkan. Setiap dua hari sekali sehingga hari ini timun-timun masih lagi dipunggut untuk dijual. Timun-timun ini telah dibungkus sebanyak 7 kg bagi setiap plastik bagi tujuan pasaran. Hasil jualan timun telah memberikan pulangan modal berserta dengan keuntungan.
Melihat kepada kejayaan yang diperolehi memberi semangat kepada pembina dan anak bina untuk terus bercucuk tanam. Mereka bukan sahaja dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah malah dapat berbudi kepada tanah dari terbiar tanpa diusahakan. Selain itu, kerja-kerja pertanian ini memberi peluang kepada mereka untuk mendalami lebih mendalam proses penanaman yang dilakukan dan seterusnya boleh dipraktikkan oleh mereka apabila mereka keluar nanti.
No comments:
Post a Comment