Tuesday, August 10, 2010

KUNJUNGAN LAWATAN DARI SINGAPURA

Persembahan Maulid oleh rombongan Singapura

Bergambar kenangan

Pada 17/7/2010, Baitul Taubah telah menerima kunjungan "Lawatan Rombongan dari Singapura" iaitu seramai 16 orang peserta. Rombongan ini telah selamat tiba di Baitul Taubah pada pukul 8.00 malam.

Mereka telah menyajikan persembahan yang cukup istimewa iaitu persembahan maulid (sejenis nasyid). Ke semua anak bina sangat terhibur dengan persembahan yang dipertontonkan.

Kunjungan lawatan ini berakhir dengan sedikit jamuan makan bagi menghargai kedatangan mereka yang sedikit sebanyak memberi ruang kepada anak bina untuk bergaul di luar lingkup yang sedia ada.

Kedatangan pengunjung sebegini amatlah kami alu-alukan, kerana melalui sokongan moral inilah juga, selain dari sokongan material, dapat membantu meningkatkan keyakinan dalam diri anak bina untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Thursday, July 8, 2010

SUMBANGAN RM10,000.00 OLEH MALAKOFF CORPORATION BERHAD

Pada 6 Jun 2010, di dalam satu majlis iaitu "5TH ANNUAL MALAKOFF CHARITY RIDE 2010" telah berlangsungnya penyampaian sumbangan yang mana Baitul Taubah merupakan salah satu penerima badan amal di Kota Bharu, Kelantan. Di dalam majlis gilang gemilang ini, Ustaz Supian Sulaiman iaitu wakil Baitul Taubah telah naik ke pentas untuk menerima sumbangan sebanyak RM10,000.00 dalam bentuk "Mock Cheque" dari pihak Malakoff.

Dengan penerimaan cek ini, kami dari pihak Baitul Taubah ingin mengucapkan sekalung ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada Malakoff Corporation Berhad di atas sumbangan yang telah diberikan.

Keperihatinan pihak Malakoff dengan kesudian menyumbang wang bagi menampung kekurangan yang ada amatlah kami hargai. Wang ini dapatlah kami gunakan untuk tujuan kebajikan dalam memulihkan penagih yang ingin berubah ke arah yang lebih baik.

Diharap Baitul Taubah terus mendapat perhatian serta sumbangan dari lain-lain pihak tidak kiralah dalam bentuk material atau tidak, supaya aktiviti-aktiviti yang dirancang dapat berjalan dengan lancar.

Sunday, May 23, 2010

LAWATAN SAMBIL BELAJAR OLEH PUSPEN

Peserta yang menyertai lawatan

Taklimat oleh En. Muhammad iaitu wakil dari PUSPEN

Taklimat oleh Ustaz Ahmad Supian

Sesi suai kenal bersama salah seorang anak bina di Baitul Taubah

Pada 13 Mei 2010, Baitul Taubah telah menerima kunjungan dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN). Lawatan sambil belajar ini diadakan bagi mengenali secara lebih dekat mengenai pendekatan yang digunakan oleh Baitul Taubah dalam memulihkan penagih dari terus ketagih dengan najis dadah.

Seramai 12 pegawai bersama-sama 8 pelatih telah menyertai lawatan ini. Mereka telah diberikan sedikit taklimat dengan dimulai oleh salah seorang pegawai PUSPEN iaitu En. Muhammad. Bagi pihak Baitul Taubah pula, taklimat telah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Supian bin Sulaiman dan Ustaz Mohamad Zulhilmi bin Abdullah. Selesai Taklimat, sesi suai kenal diadakan antara pihak Baitul Taubah dengan pegawai PUSPEN serta pelatih PUSPEN. Kemudiannya mereka telah dibawa melawat kawasan Baitul Taubah.

Lawatan selama sejam lebih ini berakhir dengan sedikit jamuan bagi menghargai kedatangan mereka ke Baitul Taubah.

Wednesday, May 19, 2010

Takziah atas pemergian H. Dudun Nursaiduddin. Ar

Tanggal 16 Mei 2010 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1431H, H. Dudun Nursaiduddin. Ar iaitu putera pertama kepada K.H.A. Shohibulwafa Tajul Arifin, ra. (Abah Anom), selaku pengasas Pondok Pesantren Suryalaya telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 11 malam.

Kami bagi pihak Baitul Taubah merakamkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga rohnya diberkati dan dirahmati oleh Allah S.W.T serta di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Al-Fatihah....

Wednesday, April 7, 2010

PEMBINAAN BARU...

Antara infrastruktur baru yang telah dibina oleh Baitul Taubah bagi keselesaan ibu bapa anak bina yang datang melawat.

Infrastruktur ini dibina bagi memastikan keadaan sentiasa terkawal terutamanya dari anasir-anasir luar yang boleh menganggu anak bina untuk terjebak kembali dengan dadah. Penghadtan kawasan diharap mendapat kerjasama dari semua pihak terutamanya pelawat-pelawat yang datang melawat ahli keluarga mereka di Baitul Taubah.

LAWATAN OLEH PAS PUSAT


Pada 3 April 2010, Baitul Taubah telah menerima kunjungan lawatan sambil belajar dari PAS Pusat. Rombongan ini kesemuanya terdiri dari kaum muslimat. Kedatangan mereka telah disambut baik oleh semua kakitangan Baitul Taubah.

Tn. Hj. Ubaidah dengan murah hati telah melapangkan waktu untuk menyampaikan sedikit taklimat kepada semua ahli rombongan. Sebelum pulang, mereka telah disediakan dengan sedikit makanan menandakan kedatangan mereka amat dihargai.

Monday, March 1, 2010

PERJALANAN HIDUP USTAZ KAMAL DI BAITUL TAUBAH

Pada 16 Januari 2008, Ustaz Kamarulzaman telah mendafatarkan diri sebagai anak bina di Baitul Taubah. Beliau adalah antara perintis pertama yang menghuni di Baitul Taubah.

Selama menjalani rawatan, beliau telah memberikan komitmen dan prestasi yang baik dalam setiap program yang diaturkan oleh pihak pentadbir Baitul Taubah.

Beliau telah tamat proses pemulihan selama 4 bulan sebagaimana yang termaktub dalam syarat sebagai anak bina di Baitul Taubah. Sepatutnya setelah selesai proses pemulihan selama 4 bulan, beliau boleh pulang terus ke rumah, akan tetapi beliau telah mengambil dan membuat keputusan yang bijak iaitu ingin menyambung lagi atas alasan kekuatan diri belum lagi kuat untuk menghadapi masyarakat dan keadaan di luar.

Dengan keikhlasan dan komitmen yang bersungguh-sungguh untuk bersama-sama membantu Baitul Taubah, beliau sanggup menghulurkan bantuan dan memberi khidmat untuk membantu para pembina memberi didikan dan semangat kepada anak-anak bina yang lain. Dengan ilmu yang ada hasil pengajian beliau di Pakistan sebelum ini sedikit sebanyak dapat membantu beliau menyumbangkan ilmu asas agama kepada anak bina. Berkat kesungguhan ini, pada peringkat awalnya beliau telah dilantik menjadi pembantu pembina. Hampir setahun beliau memegang jawatan sebagai pembantu pembina. Selama memegang jawatan ini, beliau banyak menyumbang tenaga dari segi mental dan fizikal yang mana antaranya mengajar Al-Quran, pembacaan taklim setiap selepas solat Subuh, menyelenggara asrama seperti mengecat dan sebagainya.

Pada tahun berikutnya iaitu pada tahun 2009, beliau telah dilantik sebagai "Pembina" dan menjadi salah seorang tenaga tetap di Baitul Taubah sehingga ke akhir hayat beliau.

Selama berkhidmat di Baitul Taubah beliau telah banyak memberi idea-idea dan cadangan yang bernas dan baik untuk kemajuan Baitul Taubah. Antaranya beliau telah berjaya memprogramkan beberapa perkara iaitu :
1 - Membuat program Halaqah Yasin
2 - Mengawal disiplin anak bina di atas surau
3 - Mengajar kitab adab dan akhlak
Begitulah antara rutin harian dan perjalanan kehidupan beliau selama berada di Baitul Taubah sehingga akhir tahun 2009.

Tetapi pada awal tahun 2010, beliau telah mula menunjukkan tanda-tanda kesihatan yang kurang baik yang mana beliau kerap menjalani rawatan kesihatan sehinggalah beliau ditahan di Hospital Besar Kota Bharu untuk mendapat rawatan rapi dari doktor pakar.

Pada pagi Khamis, jam 3.30 pagi (11 Februari 2010), beliau telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Besar Kota Bharu. Pemergian beliau amat dirasai di kalangan warga Baitul Taubah. Beliau banyak meninggalkan kenangan dan jasa yang amat besar di Baitul Taubah.

Takziah kepada keluarga arwah Ustaz Kamal dari seluruh warga Baitul Taubah dan semua anak bina yang pernah menerima tunjuk ajar beliau selama ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dimasukkan di dalam golongan orang-orang yang soleh. Al-Fatihah........