Monday, March 1, 2010

PERJALANAN HIDUP USTAZ KAMAL DI BAITUL TAUBAH

Pada 16 Januari 2008, Ustaz Kamarulzaman telah mendafatarkan diri sebagai anak bina di Baitul Taubah. Beliau adalah antara perintis pertama yang menghuni di Baitul Taubah.

Selama menjalani rawatan, beliau telah memberikan komitmen dan prestasi yang baik dalam setiap program yang diaturkan oleh pihak pentadbir Baitul Taubah.

Beliau telah tamat proses pemulihan selama 4 bulan sebagaimana yang termaktub dalam syarat sebagai anak bina di Baitul Taubah. Sepatutnya setelah selesai proses pemulihan selama 4 bulan, beliau boleh pulang terus ke rumah, akan tetapi beliau telah mengambil dan membuat keputusan yang bijak iaitu ingin menyambung lagi atas alasan kekuatan diri belum lagi kuat untuk menghadapi masyarakat dan keadaan di luar.

Dengan keikhlasan dan komitmen yang bersungguh-sungguh untuk bersama-sama membantu Baitul Taubah, beliau sanggup menghulurkan bantuan dan memberi khidmat untuk membantu para pembina memberi didikan dan semangat kepada anak-anak bina yang lain. Dengan ilmu yang ada hasil pengajian beliau di Pakistan sebelum ini sedikit sebanyak dapat membantu beliau menyumbangkan ilmu asas agama kepada anak bina. Berkat kesungguhan ini, pada peringkat awalnya beliau telah dilantik menjadi pembantu pembina. Hampir setahun beliau memegang jawatan sebagai pembantu pembina. Selama memegang jawatan ini, beliau banyak menyumbang tenaga dari segi mental dan fizikal yang mana antaranya mengajar Al-Quran, pembacaan taklim setiap selepas solat Subuh, menyelenggara asrama seperti mengecat dan sebagainya.

Pada tahun berikutnya iaitu pada tahun 2009, beliau telah dilantik sebagai "Pembina" dan menjadi salah seorang tenaga tetap di Baitul Taubah sehingga ke akhir hayat beliau.

Selama berkhidmat di Baitul Taubah beliau telah banyak memberi idea-idea dan cadangan yang bernas dan baik untuk kemajuan Baitul Taubah. Antaranya beliau telah berjaya memprogramkan beberapa perkara iaitu :
1 - Membuat program Halaqah Yasin
2 - Mengawal disiplin anak bina di atas surau
3 - Mengajar kitab adab dan akhlak
Begitulah antara rutin harian dan perjalanan kehidupan beliau selama berada di Baitul Taubah sehingga akhir tahun 2009.

Tetapi pada awal tahun 2010, beliau telah mula menunjukkan tanda-tanda kesihatan yang kurang baik yang mana beliau kerap menjalani rawatan kesihatan sehinggalah beliau ditahan di Hospital Besar Kota Bharu untuk mendapat rawatan rapi dari doktor pakar.

Pada pagi Khamis, jam 3.30 pagi (11 Februari 2010), beliau telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Besar Kota Bharu. Pemergian beliau amat dirasai di kalangan warga Baitul Taubah. Beliau banyak meninggalkan kenangan dan jasa yang amat besar di Baitul Taubah.

Takziah kepada keluarga arwah Ustaz Kamal dari seluruh warga Baitul Taubah dan semua anak bina yang pernah menerima tunjuk ajar beliau selama ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dimasukkan di dalam golongan orang-orang yang soleh. Al-Fatihah........

Thursday, February 11, 2010

TAKZIAH.....

Takziah atas pemergian Ustaz Kamal ke rahmatullah. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh-Nya.
(Beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pagi ini di HRPZ)

Tuesday, February 2, 2010

MAJLIS MUNAQIB

Atas jemputan Ustaz Manan, Majlis Munaqib telah diadakan di "SURAU CERUN LANJUT, TERENGGANU" pada 1 Febuari 2010. Majlis Munaqib ini merupakan aktiviti bulanan. Dalam majlis ini dihadiri oleh seluruh pengamal Tareqat.

Mereka yang terlibat ke Majlis tersebut ialah En. Ariff, Ustaz Zulkifli berserta 7 orang anak bina. Majlis bermula selepas solat Isyak dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran. Kemudian disusuli dengan pembacaan Tanbih, bacaan Tasawwuf dan bacaan Mankobah. Majlis selesai selepas ceramah.

Wednesday, January 27, 2010

MAJLIS AS-ASYURA & MAJLIS TALQIN


Baitul Taubah telah mengadakan "Majlis As-Asyura" pada 14 Januari 2010. Majlis ini dihadiri oleh YB Parlimen Pasir Puteh, Tn. Haji Ubaidah dan Mejar Mat. Selain itu, turut hadir di dalam majlis ini ialah Ustaz Manan dari Terengganu selaku guru Mursyid serta sebelas orang lagi yang datang bersama-sama dengan beliau. Asyura ini telah diagih-agihkan ke surau-surau berdekatan untuk dibahagi-bahagikan.

Pada malamnya telah diadakan "Majlis Talqin" khusus kepada anak bina yang baru mendaftarkan diri di Baitul Taubah. Kesemua anak bina ini telah diberikan pengijazahan zikir oleh Ustaz Manan.

Thursday, November 19, 2009

UJIAN AIR KENCING

Pada 15 November 2009, pihak AADK telah datang ke Baitul Taubah. Kehadiran mereka adalah untuk melakukan ujian air kencing ke atas semua anak bina termasuk pihak pengurusan Baitul Taubah. Ini bertujuan bagi memastikan semua mereka yang berada di Baitul Taubah tidak terlibat dengan dadah.

SOLAT HAJAT

Baitul Taubah telah mengadakan "Solat Hajat" pada 15 November 2009. Solat Hajat ini diadakan bagi memohon semoga semuanya berada di dalam keadaan yang selamat. Pada malam itu juga mereka beramai-ramai membakar sate.

SUKANEKA BAITUL TAUBAH

Pada 24 Oktober 2009, Baitul Taubah telah mengadakan acara Sukaneka Baitul Taubah. Sukaneka ini hanya melibatkan pihak pengurusan Baitul Taubah bersama-sama dengan anak bina. Antara sukan yang dipertandingkan ialah :
  • Bola Sepak
  • Bola Tampar
  • Ping Pong
Permainan bermula pada waktu petang dan malam iaitu pada waktu kelapangan. Acara sukaneka ini berakhir pada 28 Oktober 2009 dengan acara penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang.

Main bola tampar