Wednesday, February 16, 2011

PROJEK TERNAKAN LEBAH

Ustaz Supian, Ustaz Zulman serta anak bina bergambar
bersama-sama Frame Royal Jelly yang dipenuhi lebah

Pada 25 Januari 2011, Baitul Taubah telah menerima kehadiran En. Mohd Hisyamuddin b. Ghazali yang merupakan pegawai dari Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd.

Kedatangan beliau bertujuan mengenalpasti ratu lebah di samping memberi penerangan mengenai lebah serta pengurusannya. Dalam penerangan tersebut telah diperkenalkan jenis-jenis lebah (ratu lebah, lebah jantan dan lebah pekerja), larva serta madu. Selain itu, didedahkan juga cara-cara mengawal suhu, menutup sarang lebah dan lain-lain lagi.

Hasilnya, pembina serta anak bina yang terlibat memperoleh keberanian dalam pengendalian penternakan lebah dengan cara yang betul dan menjamin projek ternakan lebah dapat berjalan dengan lancar.



Monday, November 29, 2010

TESTIMONI

Testimoni 3

Alif, 23 (bukan nama sebenar), berasal dari Jeli, Kelantan. Beliau mula berjinak-jinak dengan dadah kerana terpengaruh dengan rakan sebaya ketika berumur 15 tahun. Bermula dengan ketagihan pil kuda, sehinggalah beliau mula berani mengambil ganja. Tambahan pula bekalan dadah tersebut mudah diperolehi tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

Alif pernah berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai pembantu restoran. Selama setahun di sana, beliau tidak mengambil sebarang bentuk dadah kerana bekalan susah untuk diperolehi. Bagaimanapun, sekembali dari Kuala Lumpur, Alif mengambil dadah semula atas pengaruh rakan-rakan.

Ekoran bimbang dengan masa depan Alif, pada 21/12/2009, bapa dan bapa saudaranya telah membawa Alif ke Baitul Taubah. Alif dengan rela hati tidak membantah kerana beliau sendiri juga ingin berubah. Sepanjang tempoh 4 bulan latihan, Alif menjadi salah seorang anak bina yang taat menjalani setiap program yang dijalankan.

Sehingga kini Alif masih menjadi penghuni setia di Baitul Taubah. Bezanya beliau kini menjadi salah seorang penyumbang tenaga yang gigih membantu membentuk anak bina lain. Di Baitul Taubah beliau memperolehi ketenangan dan kedamaian jiwa. Sesekali Alif akan pulang bercuti untuk melawat keluarganya di kampung halaman. Sekarang pendirian Alif mula teguh dan tidak lagi mudah terpengaruh seperti suatu ketika dulu.




Thursday, October 28, 2010

TESTIMONI

Testimoni 2

Yassin, 38 (bukan nama sebenar) berasal dari Pahang yang kini sudah mampu memberi kaunseling kepada anak bina baru di Baitul Taubah. Anak kepada pesara tentera ini menagih dadah berpunca dari sifat berani ingin mencuba sehingga kepada perkara yang menyalahi undang-undang.

Kata Yassin, "Saya rasa nikmat dengan dunia tersendiri ketika awal terbabit dengan ganja. Ketika usia 20 tahun, saya mencuba pula heroin. Akhirnya ketika berusia 21 tahun, saya sudah menjadi penghuni di Serenti Jeli selama 16 bulan". Selain Serenti Jeli, Yassin juga pernah menghuni di Serenti Batu Kurau, Taiping selama 12 bulan, Penjara Sungai Buluh 4 bulan dan Penjara Penor, Kuantan 14 bulan. Selepas keluar dari Serenti, Yassin perlu melaporkan diri di Balai Polis berdekatan sekali sebulan dan berada di bawah pengawasan polis selama 2 tahun.

Ketika di dalam tahanan, beliau dan rakan-rakan bebas bercerita tentang dadah sebelum ditahan dan bebas bertukar-tukar ilmu. Maka tidak hairanlah pelatih yang keluar dari pusat Serenti mempraktikkan ilmu yang diperolehi dari rakan-rakan di Serenti.

Beliau juga mendakwa dalam Serenti juga ada gejala tidak sihat apabila pelatih mendapat bahan haram secara mudah. Kata beliau, selagi amalan rasuah dan penyelewengan dibiarkan berlaku, pemulihan dadah di Serenti sukar untuk menginsafkan setiap pelatih.

Setelah mengalami pengalaman keluar dan masuk di banyak pusat tahanan, akhirnya pada Ogos 2009, beliau menyerah diri kepada Baitul Taubah untuk menemui semula agama yang telah lama dilupakan.

Sepanjang berada di Baitul Taubah, beliau menjalani program pemulihan bermula awal 4 pagi. Selepas Solat Subuh akan dipenuhi dengan kuliah agama dan kesedaran diri sehingga jam 7.30 pagi. Manakala bagi setiap waktu solat, semua penghuni di Baitul Taubah wajib berjemaah bersama-sama.

Selepas 4 bulan di Baitul Taubah, beliau dibenarkan pulang ke kampung menemui ahli keluarganya. Ramai yang terkejut dengan perubahan fizikalnya. Beliau berjaya memujuk dua orang anak saudaranya untuk menjalani pemulihan di Baitul Taubah.

TESTIMONI

Testimoni 1

Nabil, 33 (bukan nama sebenar) berasal dari Kota Bharu. Sudah dua kali menjalani rawatan di Serenti. Kali pertama selama 14 bulan dan kedua setahun.

Beliau mengakui mulai terjebak dengan najis dadah ketika belajar di tingkatan tiga. Selepas berjinak dengan ubat batuk, beliau beralih pula kepada menghisap morfin. Beliau juga menyalahkan persekitaran di kampungnya mengajar beliau terjebak dengan gejala penagihan.

"Selepas terbaca laporan mengenai Baitul Taubah, datang minat dalam diri saya untuk menjalani rawatan. Kedua orang tua saya telah menghantarkan saya ke sini pada Jun 2009". Kata beliau yang kini semakin berisi dan sihat.

Ketika ditanya mengapa pusat Serenti tidak mampu mengubah dirinya. Katanya program yang dianjurkan oleh pusat Serenti lebih kepada paksaan. Bagi pelatih yang tidak mengikuti program yang ditetapkan, maka tempoh penahanan akan dipanjangkan. Penekanan pusat Serenti lebih kepada aspek fizikal iaitu kawad. Sebaliknya kurikulum inabah lebih memberi penekanan kepada aspek kerohanian berteraskan solat, zikir, puasa, pengajian ilmu Islam dan mandi ternyata mampu menginsafkan beliau.

Setelah 4 bulan di sini, Nabil dibenarkan untuk pulang bercuti di kampung. Ramai yang tidak mengenali beliau. Katanya ramai yang terkejut dengan perubahan fizikalnya. Kepulangan beliau kali ini bukan untuk dipengaruhi, sebaliknya beliau telah mengajak kawan-kawan untuk insaf dan menjalani rawatan di Baitul Taubah.

"Setelah beberapa hari di kampung, saya mengambil keputusan untuk kembali ke Baitul Taubah bersama rakan-rakan lain yang telah insaf". ujar beliau.

Wednesday, October 13, 2010

TAKZIAH ATAS KEPULANGAN "TOK NEBENG" KE RAHMATULLAH

Salah seorang bekas anak bina yang dikenali sebagai "Tok Nebeng" telah selamat pulang ke Rahmatullah pada 11 Oktober 2010. Punca kematian beliau adalah disebabkan oleh masalah paru-paru. Beliau meninggal ketika sedang bekerja (kerja kampung) iaitu memunggah kayu.

Sepanjang di Baitul Taubah, beliau begitu disegani oleh anak bina yang lain sehingga dilantik menjadi ketua digelar "Tok Nebeng". "Tok Nebeng" adalah antara hasil awal Baitul Taubah yang cemerlang. Ketika diterima masuk Baitul Taubah, Tok Nebeng berusia 44 tahun. Sebagai pelatih yang lebih tua, beliau menunjukan contoh yang baik kepada anak bina lain, selain menunjuk ajar mereka.

Beliau telah menjalani latihan pemulihan di Baitul Taubah selama 6 bulan dan kemudiannya kembali ke kampung asal dan tinggal bersama-sama isteri dan anak-anak. Beliau sangat rajin dan mampu melakukan pelbagai pekerjaan termasuklah mempunyai kebolehan dalam ilmu pertukangan.

Kami bagi pihak Baitul Taubah merakamkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga beliau. Semoga roh beliau diberkati dan dirahmati oleh Allah S.W.T serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Al-Fatihah........

Thursday, September 30, 2010

MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA TUAN GURU NIK AZIZ

Tn. Guru bersalaman dengan hadirin

Tn. Guru bersama ketua sekretariat Baitul Taubah

Sedang kusyuk mendengar ceramah


Pada 1 September 2010, satu majlis berbuka puasa telah diadakan di Baitul Taubah dengan kehadiran tetamu jemputan istemewa iaitu YAB Tuan Guru Dato' Hj. Nik Abdul Aziz bin Nik Mat iaitu Menteri Besar Kelantan serta Yang Berhormat Tuan Muhammad bin Husain iaitu ahli parlimen Pasir Puteh, Yang Berhormat Drs Zainuddin bin Awang Hamat ADUN bg kawasan Limbongan dan Yang Berhormat Drs Saipul Bahrin bin Mohamad ADUN bagi kawasan Selising. Selain itu, selaku ketua sekretariat Baitul Taubah iaitu Tn. Hj. Ubaidah juga turut hadir ke majlis ini. Majlis ini bermula pada pukul 5.30 petang dan tamat pada pukul 7.00 petang.

Dalam majlis ini, YAB Tuan Guru ada memberikan ucapan kepada semua hadiri berkenaan "Kesedaran Tentang Dadah". Begitu juga dengan tetamu terhormat yang lain yang mana turut memberikan ucapan tentang kesedaran agar tidak mudah terlibat dengan dadah sehingga membahayakan diri sendiri dan orang lain.

Setelah masuknya waktu Maghrib, semua yang hadir bersama-sama berbuka puasa dan kemudiannya solat Maghrib berjemaah. Sesudah itu, kesemua tetamu terhormat bersurai.

Sunday, August 15, 2010

LAWATAN DARI PUSPEN BESUT



Pada 10 Ogos 2010, Baitul Taubah telah menerima kunjungan "Lawatan dari PUSPEN Besut". Seramai 25 orang menyertai lawatan ini yang mana 10 orang daripadanya adalah pengawai dan selebihnya adalah penghuni PUSPEN.

Sepanjang lawatan bermula 10.30 pagi hingga 12.00 tengah hari, semua rombongan telah diberikan sedikit taklimat mengenai Baitul Taubah oleh Ustaz Supian. Mereka juga berpeluang untuk beramah mesra dengan anak bina. Selain itu mereka telah dibawa melawat kawasan Baitul Taubah termasuklah bilik detox.

Sesi lawatan berakhir dengan sedikit jamuan ringan bagi meraikan kesudian pihak PUSPEN untuk singgah di Baitul Taubah. Dengan cara ini, pertukaran maklumat boleh berlaku antara anak bina Baitul Taubah dengan penghuni PUSPEN. Mereka akan lebih merasai diri mereka diperlukan dalam masyarakat.